suria

Penuntut Malaysia Di Mesir Selamat

PETALING JAYA: Ibu bapa penuntut yang masih berada di Mesir diminta tidak berasa bimbang atau gusar dengan keselamatan anak mereka kerana Kedutaan Malaysia di negara itu telah mengambil langkah sewajarnya.

Duta Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan penuntut Malaysia bagi memastikan mereka selamat serta memberi taklimat mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil jika keadaan menjadi buruk.

"Memang ada surat dikeluarkan dan kita dah berbincang dengan ketua-ketua pelajar, dan kita telah memberi maklumat dan langkah-langkah keselamatan. Kita juga tidak bolehlah nak berlebih sangat mengenai isu keselamatan kerana pelajar sekarang tengah menghadapi ujian.

"Kita pantau secara lebih tenang dan tak nak berlebih sangat sebab kita tak nak berlaku panik yang tak tentu pasal (di kalangan penuntut)," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAG Malaysia) di sini pada Isnin.

Beliau berkata ketika ini keadaan adalah terkawal dan tidak berbahaya, cuma penuntut Malaysia, terutama mereka yang belajar di Universiti Iskandariah dan Universiti Kaherah, diminta sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Yang dekat dengan kawasan Dataran Tahrir kebanyakkan adalah pelajar Fakulti Perubatan yang duduk berdekatan kawasan itu. Kalau kita (pihak kedutaan) nampak ada sedikit ketegangan, kita akan pindahkan mereka dengan segera," katanya sambil menambah 4,500 daripada lebih 10,000 penuntut Malaysia adalah pelajar Fakulti Perubatan.

Sejak Sabtu lepas, satu pertempuran berlaku antara polis Mesir dan penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan tentera mengumumkan tarikh peralihan kuasa di negara Arab itu, dan setakat ini, lebih 1,000 orang dilaporkan cedera.

Mohd Fakhrudin berkata hari tunjuk perasaan diisytiharkan hampir setiap hari Jumaat, iaitu selepas solat Jumaat, dan penuntut Malaysia digesa menjauhkan diri daripada kawasan terbabit.

"Hari Jumaat itu, kalau ada demonstrasi di masjid berkenaan, jangan sembahyang di masjid itu. Pergilah ke masjid lain kerana banyak lagi masjid di sana," katanya sambil memuji sikap penuntut Malaysia kerana sentiasa mendengar arahan yang dikeluarkan kedutaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penubuhan WAAG Malaysia adalah untuk menyatupadukan graduan lepasan Universiti Al-Azhar yang dianggarkan seramai 30,000 di negara ini.

"Tujuan utama penubuhan WAAG ini adalah untuk menyediakan satu forum perbincangan bagi pertukaran idea di kalangan para graduan dan juga mungkin semua ulama, tokoh pemikir, para ilmuan dan ahli akademik berkenaan isu-isu berkaitan Islam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain