suria

Pasangan OKU Nyaris Maut Rumah Dihempap Pokok Kelapa

MARANG: Sepasang suami isteri kurang upaya nyaris maut apabila rumah mereka dihempap sebatang pokok kelapa di Taman Rahmat di sini malam Ahad.

Ketika kejadian kira-kira tengah malam itu, pasangan yang menghadapi masalah penglihatan itu sedang tidur bersama dua anak mereka sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kencang dan hujan lebat.

"Bila dengar angin kencang, saya segera bangun dan nak kejutkan isteri saya, Siti Saerah Mohd," kata Mohd Tahir Ismail, 55.

Mohd Tahir berkata sebelum dia sempat mengejutkan isterinya, dahi dan mukanya terasa sakit terkena serpihan bumbung apabila sebatang pokok kelapa setinggi 10 meter menghempap bilik tidur mereka.

"Masa saya nak mengejutkan isteri, saya dengar dentuman yang kuat dan air hujan mula mencurah masuk ke bilik, malah sebiji kelapa turut terkena bahu isteri saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini Isnin.

Menurutnya dia kemudian mengejutkan anak perempuannya berusia 24 tahun yang berada di bilik sebelah dan setelah memeriksa keadaan rumah, mereka mendapati bahagian dapur turut musnah.

Mohd Tahir berkata kejadian berlaku dengan pantas dan mendakwa ribut seumpama itu adalah kali pertama berlaku di taman perumahan yang majoriti dihuni golongan kelainan upaya (OKU).

Sementara itu wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang telah menghantar bantuan bencana kepada keluarga malang itu selain bantuan makanan.

Bantuan untuk membaik pulih rumah pasangan itu juga difahamkan akan dijalankan dalam masa terdekat. - BERNAMA

Artikel Lain