suria

Dakwaan Tabika Kemas Cuba Sebar Islam Di Kawasan Majoriti Kristian Tidak Benar

KUCHING: Dakwaan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR)Sarawak Baru Bian (PKR-Ba'Kelalan) bahawa ada cubaan untuk berdakwah secara halus oleh tenaga pengasuh Islam di tabika Kemas yang majoritinya kanak-kanak beragama Kristian, adalah tidak benar.

Menteri Kebajikan, Wanita dan pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata siasatan menunjukkan ada 11 tabika Kemas di Ba'kelalan dan hanya tiga orang pengasuh beragama Islam dan dua tabika tersebut mempunyai ramai kanak-kanak beragama Islam.

"Lapan tabika lain, pengasuh-pengasuh terdiri daripada mereka bukan Islam,"katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Isnin.

Katanya sebuah tabika Kemas yang mempunyai pengasuh beragama Islam ditempatkan di sana sebagai langkah sementara sehingga ada calon sesuai mengisi jawatan tersebut daripada kalangan penduduk setempat.

Beliau menafikan tabika-tabika Kemas di Ba'kelalan mempunyai ramai tenaga pengasuh dari Semenanjung kerana kesemuanya tenaga pengasuh berasal dari negeri ini dan menegur semua Anggota Dewan Undnagan Negeri (ADUN) supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Pada sesi perbahasan minggu lepas, Bian mendakwa ada cubaan berdakwah secara halus di kalangan tenaga pengasuh tabika Kemas di Ba'Kelalan yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa sehingga ada yang mendakwa anak mereka diajar berdoa secara Islam.

Bian juga menyuarakan kebimbangan mengenai ramai tenaga pengasuh dari Semenanjung yang bertugas di tabika Kemas yang boleh menimbulkan konflik keagamaan dan budaya sekaligus mencadangkan kerajaan meningkatkan pengambilan rakyat tempatan sebagai tenaga pengasuh Kemas.

Dalam perkembangan lain, Fatimah mengumumkan cadangan penubuhan Pusat Pendaftaran dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK).

Beliau berkata, tujuan utama penubuhan PPAK ialah untuk memendekkan tempoh kelulusan pendaftaran tadika dan taska di Sarawak. Katanya setakat ini tempoh kelulusan pendaftaran berjaya dipendekkan kepada satu tahun daripada tiga tahun. - BERNAMA

Artikel Lain