suria

Betulkan Persepsi Terhadap Umno Satu Cabaran Besar

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara cabaran besar yang dihadapi oleh pemimpin dan anggota Umno ialah untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sambil bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa banyak usaha yang perlu dilakukan oleh parti itu untuk mendapatkan sokongan rakyat, Muhyuiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata cabaran yang dihadapi oleh parti pada masa ini bukan mudah.

"Mungkin boleh dibandingkan dengan Umno dahulu, zaman Tun dan zaman sebelum itu, tetapi situasi sudah berubah.

"Jika zaman dahulu, kita lebih mudah (mendapat sokongan rakyat), kerana banyak yang pada waktu itu memahami dan dapat menghayati sejarah lampau.

"Generasi sekarang tidak membawa "baggage" (beban) masa lampau, mereka lahir lepas merdeka, dengan kemajuan pembangunan, jadi mereka tidak terikat dengan "baggage" ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam sebuah akhbar semalam antara lainnya bahawa wujud banyak pertikaian dalaman dalam Umno selain parti itu menghadapi kekurangan ketua-ketua yang berkebolehan.

Sambil menyifatkan pandangan Dr Mahathir itu adalah kerana bekas Perdana Menteri itu cinta dan sayangkan Umno, Muhyiddin berkata generasi sekarang melihat situasi baru dan masa depan berdasarkan perubahan pemikiran yang kini wujud dalam masyarakat.

"Jadi, cara nak menguruskan perubahan ini tidak serupa dahulu. Dulu mudah sahaja, orang cakap semua orang ikut.

"Hari ini dengan ilmu, teknologi dan informasi, kita kena bijak menguruskan keadaan. Perkara-perkara yang ada asas pertimbangan (seperti) ketelusan, hak asasi manusia dan hal sebegini, sudah menjadi lumrah dalam situasi perubahan minda sekarang...yang dahulunya, tidak menyerlah.

"Pimpinan Umno dan BN sedar tetapi soalnya bagaimana nak tanganinnya. Kita dah cuba tetapi saya bersetuju dengan Tun (usaha itu) tak cukup lagi, belum cukup mantap," katanya.

Muhyiddin juga berkata andaian kononnya Umno dan BN tidak mengambil langkah memperbaiki dan mengukuhkan parti dan kerajaan adalah tidak tepat selepas berlaku "tsunami politik" pada 2008.

Katanya program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menampakkan hasil yang menunjukkan dasar parti sudah diterima baik oleh rakyat.

"Itu langkah-langkah yang telah mula diambil, dan percaya sudah dilihat kesannya, umpamamya peningkataan sokongan orang Melayu, India dan Cina dalam apa yang kita lakukan dalam tempoh dua tahun lepas.

"Ia sudah menunjukkan keadaan yang lebih baik sedikit walaupun saya setuju dengan Tun, belum cukup baik, belum cukup mantap, belum begitu kukuh lebih-lebih lagi dalam soal urusan parti, masalah dalaman, masalah untuk melahirkan barisan pimpinan pelapis di semua peringkat untuk meneruskan perjuangan," katanya.

Beliau berkata perkara itu masih menjadi perhatian dan tumpuan pucuk pimpinan parti yang turun padang mengadakan pertemuan dan lawatan ke peringkat bahagian dan masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain