suria

Polis Tahan Enam Warga Asing, Rampas Dadah Bernilai RM20 Juta

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki warga asing dan merampas sejumlah dadah jenis syabu yang bernilai kira-kira RM20 juta di sebuah kediaman di Putra Perdana, Puchong dekat sini, Sabtu.

Menurut sumber polis, hasil risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, satu serbuan telah dibuat ke atas kediaman berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Difahamkan kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga lewat 30-an, namun kerakyatan mereka enggan didedahkan oleh polis.

Mereka juga difahamkan menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini sejak beberapa bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Sebelum ini, polis juga berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah antarabangsa dengan menahan 11 lelaki termasuk enam warga asing bersama dadah jenis ecstasy dan syabu di Pulau Pinang pada Jumaat lepas.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman dan Kedah berjaya merampas dadah yang bernilai lebih RM20 juta dari dua operasi yang dijalankan serentak di sebuah kilang dan rumah yang dijadikan makmal memproses dadah secara haram di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Lain