suria

Pekerja Maut Dalam Letupan Di Syarikat Jual Besi Buruk Di Pantai Remis

IPOH: Seorang pekerja sebuah syarikat menjual besi buruk di pekan Pantai Remis, 120 kilometer dari sini, terbunuh selepas satu letupan berlaku di premis berkenaan pada Ahad.

Mangsa, Abdul Razak Mohd Nor, 32, dari Pantai Indah, yang cedera parah, meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata dalam insiden 1.38 petang itu, Abdul Razak dikatakan mengetuk beberapa barangan besi di premis tersebut apabila satu letupan kuat berlaku, menyebabkan mangsa tercampak.

Beliau berkata polis masih menyiasat dan mengumpul maklumat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Setakat ini, kematian Abdul Razak diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, katanya ketika dihubungi.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran yang berlaku selepas letupan itu. - BERNAMA

Artikel Lain