suria

Malaysia Akan Bantu Mangsa Banjir Bangkok Sehingga Fasa Pemulihan

SONGKHLA: Malaysia akan terus menghantar bantuan kemanusiaan ke Thailand bagi membantu mangsa banjir di Bangkok sehingga memasuki fasa pemulihan.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdulah berkata kumpulan perubatan berpengalaman juga akan dihantar ke Bangkok bersama dengan ubat-ubatan selepas banjir surut.

"Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta saya menyelaraskan penghantaran misi bantuan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarela ke Bangkok atas semangat setiakawan dan sebagai jiran akrab.

"Lebih tiga juta penduduk Bangkok dan Ayutthaya yang terjejas oleh banjir sejak Ogos lepas memerlukan bantuan perubatan pencegahan penyakit," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau mengetuai misi kali keempat penghantaran 'Bantuan Banjir Thailand' berupa dua kontena air minuman dan makanan kering dan dalam tin yang halal bernilai RM30,000 sumbangan Tenaga Nasional Berhad untuk mangsa banjir tersebut.

Sumbangan diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Zakaria Salleh di Masjid Besar Songkhla yang menempatkan pejabat Sheikhul Islam Wilayah Songkhla di sini, petang Sabtu.

Turut hadir Montree Keawphang, pembantu kepada Menteri Dalam Negeri Thailand, Pengarah Pusat Perhubungan Sheikhul Islam Selatan Thai, Abdul Halim Lateh dan pegawai-pegawai kerajaan Thai di Songkhla.

Turut mengiringi penghantaran bantuan itu ialah Naib Presiden TNB (Hal Ehwal Korporat) Adelina Iskandar, Pengurus Besar TNB Kedah (Bahagian Pembahagian) Suid Othman dan anggota Persatuan Bulan Sabit Merah negeri Kedah.

Latt Shariman berkata syarikat minyak negara Petronas turut menyumbang lebih dua juta botol air mineral untuk mangsa banjir yang telah dihantar ke Bangkok tiga hari lepas.

Adelina berkata sumbangan TNB atas dasar prihatin dengan kira-kira 50,000 masyarakat Islam yang terjejas oleh banjir tersebut yang sukar mendapat makanan halal di samping mengeratkan lagi hubungan dua-hala kedua-dua negara.

Abdul Halim pula yang mewakili kerajaan dan rakyat Thai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang prihatin dan bersimpati dengan nasib mangsa banjir di negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain