suria

Karnival Kerjaya Pemuda BN Akan Diperluas Ke Seluruh Negara - KJ

KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) akan dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke seluruh negara mulai tahun depan, kata Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga pengerusi penganjur karnival itu berkata, langkah itu berikutan maklum balas memberangsangkan yang diterima sejak karnival itu diadakan mulai tahun ini.

"Kami telah mengadakan enam karnival dan ini merupakan yang ketujuh. Saya melihat program ini amat berjaya dan berkesan untuk mewujudkan pekerjaan untuk generasi muda.

"Kami akan teruskan program ini sebagai program 'touch point' kita, dan kami akan mengadakannya secara tahunan untuk membantu generasi muda mencari pekerjaan yang lebih baik ataupun pekerjaan pertama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Karnival Kerjaya BN Ke-7 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Selain Kuala Lumpur, karnival itu telah diadakan di Kedah, Pahang, Melaka, Sabah dan Perak.

Khairy berkata, berdasarkan maklum balas, setiap seorang daripada tujuh pencari kerja yang memohon pekerjaan menerusi karnival itu berjaya mendapat pekerjaan.

Daripada 400,000 pengunjung dalam enam karnival itu, beliau berkata, kebanyakan mereka telah bekerja tetapi ingin mencari kerja baru selain graduan.

Karnival itu yang berlangsung sehingga Ahad ini menawarkan 30,000 peluang pekerjaan di 300 syarikat, jabatan dan agensi.

Artikel Lain