suria

Tiga Anggota Polis Tidak Mengaku Salah Lakukan Pemerasan

JOHOR BAHARU: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki ketika melakukan sekatan jalan raya, bulan lepas.

Koperal Rahimi Mohd Raflis, 45, Konstabel Mohd Nizam Umar, 20, dan Lans Koperal Ab Rahman Semian, 44, minta dibicarakan atas tuduhan bersama-sama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan dan meminta RM2,400 daripada seorang lelaki di sekatan jalan raya polis, Jalan Masai Lama, di sini, antara pukul 2 petang hingga 3.15 petang, 18 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Di mahkamah yang sama, dua lagi anggota polis turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat bersama-sama Rahimi, Mohd Nizam dan Ab Rahman dengan melakukan pemerasan ke atas seorang lelaki dan menyimpan harta pemerasan tersebut, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Lans Koperal Shamsuddin Mohamed, 50, dan Konstabel Muhd Khairulzaman Mohd Yusof, 23, didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 384 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan kelima-lima tertuduh yang bertugas di Balai Polis Plentong, di sini, diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 hingga 21 Disember ini bagi perbicaraan kes tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Shyue Chien dan Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Mazri Mohamed. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain