suria

Tertuduh Utama Rompak RM953,580 Warga Singapura Dihadapkan Ke Mahkamah

SEPANG: Seorang ahli perniagaan yang merupakan tertuduh utama dalam kes rompakan melibatkan USD300,000 (RM953,580) milik tiga warga Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) September lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

T.Sritharan, 32, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan utama dan tiga pertuduhan alternatif yang dikemukakan.

Bagi tiga pertuduhan utama, Sritharan didakwa dengan seorang lagi yang masih bebas D.Nagarajan, melakukan rompakan berkumpulan ke atas Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Zakkariya Mohamed Shatik, sebanyak USD100,000 setiap seorang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tandas lelaki, bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satellite, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 11.25 malam, 15 Sept lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan utama, Sritharan didakwa menipu ketiga-tiga warga Singapura itu dengan memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bangunan Satellite, KLIA, pukul 11 malam, pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tiga pertuduhan alternatif pula, Sritharan didakwa menyamar dirinya sebagai pegawai SPRM kepada ketiga-tiga lelaki itu pada masa dan tempat yang sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaacob membenarkan Sritharan dibebaskan dengan ikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah selain tidak dibenarkan ke Sabah dan Sarawak dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Beliau menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes itu.

Beliau juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin supaya kes Sritharan dibicarakan bersama-sama dengan kes tiga pegawai SPRM yang telah didakwa di mahkamah pada 7 Okt lepas yang melibatkan transaksi yang sama.

Terdahulu, Nadia Hanim menawarkan supaya Sritharan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM100,000 kerana beliau merupakan tertuduh utama dalam kes jenayah terancang yang melibatkan jumlah yang banyak iaitu dengan mengambil USD100,000 masing-masing daripada tiga mangsa.

Beliau juga memohon pasport aatarabangsa Sritaharan diserahkan ke mahkamah, tidak boleh ke Sabah dan Sarawak dan melapor diri di balai polis berdekatan.

"Ini kerana, terdapat risiko yang tinggi untuk Sritharan melarikan diri," katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi.

Beliau berkata Sritharan menyerahkan dirinya pada 8 Nov lepas dan telah mengambil masa hampir dua bulan untuk berbuat demikian selepas ketiga-tiga pegawai SPRM ditangkap pada 19 Sept lepas.

Peguam R.Vijayan yang mewakili Sritharan berhujah bahawa tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan memohon jumlah itu diturunkan kepada RM30,000 sama seperti jumlah jaminan yang ditetapkan kepada tiga pegawai SPRM itu.

Beliau berkata tiada perbezaan antara anak guamnya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu dengan tiga penjawat awam berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain