suria

Polis Sedang Jejaki 7 Lelaki Bantu Kes Bunuh

KAMPAR: Polis sedang mengesan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki yang ditemui dengan kesan kecederaan di kepala dan badan di hadapan Restoran Lucky San, Jalan Tasek, Pekan Gopeng di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata, mereka yang dikehendaki polis ialah G. Sarawanan, 31, beralamat di No 1 Jalan Merdeka, Desa Lawan Kuda, 31600 Gopeng,; P. Alaigeswearan, 26, beralamat di L-78 Jalan Kinta 8, Taman Kinta, 31600, Gopeng; V. Raguwaran, 22, beralamat di No 31, Lawan Kuda Baru, 31600 Gopeng.

Selain itu, polis turut mencari A. Raymond George, 31, beralamat di No B276, Lorong Kolam Kopisan Baru, 31600 Gopeng; S. Visvanathan, 28, beralamat di No 28, Jalan 4, Taman Kinta Baru, 31600 Gopeng; G. Nanthakumaran, 33, beralamat di No. 1 Jalan Merdeka, Desa Lawan Kuda, 31600, Gopeng dan A. Shaivalingam, 22, beralamat di No 8 Jalan Dobi, Changkat, Batu Gajah.

Polis meminta mereka tampil ke balai-balai polis berhampiran atau sesiapa yang mengenali mereka menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di nombor telefon 05-4652222 atau 05-4650020 talian hotline untuk membantu siasatan, katanya pada sidang akhbarnya di sini, Jumaat.

Aziz berkata, sebelum ini, polis menahan 10 lelaki berusia 18 hingga 40 tahun di sekitar Gopeng dan sini untuk siasatan lanjut dan mereka masih ditahan reman seminggu lagi. Dalam kejadian pada Sabtu lepas, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di badan dan kepala, dipercayai dibunuh, di hadapan Restoran Lucky San Jalan Tasek, Pekan Gopeng.

Mayat K. Manimaran, 26, ditemui pada pukul 11.20 malam oleh polis selepas menerima laporan daripada orang awam.

Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih sekumpulan lelaki dengan bersenjatakan parang dan batang besi yang dikatakan berpunca daripada balas dendam. Polis bagaimanapun masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain