suria

Msia Catat 5.8% Pertumbuhan KDNK Suku Ketiga

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada 5.8 peratus pada suku ketiga berbanding 4.3 peratus pada suku kedua berikutan permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, pada Jumaat.

Beliau berkata, permintaan kukuh dipacu oleh pengembangan dalam perbelanjaan isi rumah dan perniagaan serta perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi.

Permintaan domestik berkembang sebanyak sembilan peratus daripada 5.6 peratus pada suku kedua didorong oleh peningkatan dalam perbelanjaan sektor swasta dan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi, kata beliau pada sidang akhbar mengenai prestasi suku ketiga ekonomi Malaysia.

Zeti juga berkata, penggunaan meningkat sebanyak 7.3 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku kedua seiring dengan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan, manakala penggunaan awam bertambah 21.7 peratus daripada 6.6 peratus pada suku kedua berikutan perbelanjaan lebih tinggi terhadap emolumen, bekalan dan perkhidmatan serta pembayaran bonus semasa suku berkenaan.

Zeti berkata, pertumbuhan itu dicapai meskipun persekitaran mencabar berikutan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran kewangan, keadaan fiskal yang kurang memberangsangkan dan kelemahan dalam pasaran tenaga kerja di ekonomi maju.

Mengenai masa depan ekonomi negara, Zeti berkata risiko kepada pertumbuhan ekonomi global telah meningkat berikutan perkembangan yang berlaku pada suku ketiga.

"Berkemungkinan beberapa kesan akan dialami pada suku keempat dan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, ia akan memberi kesan faktor luaran kita.

"Bagaimanapun, kita menjangka ekonomi domestik kita dan permintaan domestik akan terus mengekalkan pertumbuhan.

"Petunjuk menunjukkan permintaan akan berterusan dan pelaburan sektor swasta dan pelaburan awam memberi momentum sebagaimana dilihat pada separuh pertama tahun ini, (tetapi) ia kekal kepada setakat mana permintaan luar negeri akan memberi kesan kepada kita.

"Pada masa ini, tidak dapat ditentukan mengenai pertumbuhan suku keempat, kecuali permintaan domestik akan terus kukuh dan sudah tentu kita tahu bonus yang dibayar akan sentiasa memberi kesan ke atas perbelanjaan dan pelaksanaan projek-projek yang akan menyumbang secara positif kepada prestasi suku keempat, " kata beliau.

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain