suria

Lelaki Rakyat Singapura Dihukum Gantung Bunuh Anak Tiri

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki rakyat Singapura dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak tiri lelakinya, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh, Shawal Senin, 35, didakwa dengan niat menyebabkan kematian Siwakorn Sukuntha, 7, rakyat Thailand, di rumah beralamat 08-04 Blok A, Kondominium Pulai View, Taman Kobena dekat Tampoi antara pukul 9 malam 24 Disember 2008 hingga 1 tengah hari 27 Dis 2008.

Dia yang ditahan polis pada 28 Dis 2008 didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam bela Amy Law.

Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi termasuk tertuduh sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain