suria

KTB Setuju Untuk Sambung Semula Operasi Bas Henti-Henti Selepas Berdialog Dengan SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan pada Jumaat bahawa Konsortium Nasional Berhad (KTB) pada dasarnya bersetuju untuk menyambung semula operasi bas mereka di beberapa kawasan yang terjejas mulai minggu depan.

Persetujuan itu dicapai hasil beberapa siri perbincangan dan dialog yang diadakan di antara kedua-dua belah pihak.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata dalam satu kenyataan, pihaknya optimistik bahawa perkhidmatan bas Cityliner milik KTB akan memulakan semula operasi secara berperingkat minggu depan.

"Ini adalah langkah interim yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sementara kerajaan membuat keputusan jangka panjang yang boleh menyelesaikan kemelut perkhidmatan bas berhenti-henti yang kini sedang berhadapan dengan kepupusan ekoran kerugian yang dialami oleh syarikat operator.

Pada masa yang sama, kata Syed Hamid, SPAD juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengeluarkan bantuan segera kepada operator bas yang terjejas. “Pada waktu ini, SPAD sedang berusaha untuk memastikan satu langkah jangka panjang akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Disember nanti.

"Sehingga itu SPAD memohon kerjasama daripada semua pihak agar memberi sokongan kepada langkah-langkah jangka pendek yang akan dilaksanakan,” ujar Syed Hamid.

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain