suria

Keputusan Presiden Gerakan Enggan Tanding Harus Diterima - TPM

KUALA LUMPUR: Hasrat Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang harus diterima oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, dengan keputusan itu, Gerakan sebagai salah satu komponen penting dalam Barisan Nasional (BN) dapat memberi tumpuan yang lebih kepada usaha untuk memastikan kemenangan bagi kerusi yang ditandingi calon parti itu.

"Mungkin beliau telah mengambil kira pandangan ahli yang pernah juga disuarakan semasa Perhimpunan Agung (Gerakan) baru-baru ini yang mahu Koh menumpukan kepada usaha mencapai kemenangan bagi calon lain," kata Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai keputusan Koh itu.

Beliau berkata BN amat menghargai jasa dan perkhidmatan yang telah dicurahkan Koh kepada parti dan kerajaan selama ini.

Koh hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan menyifatkan keputusan itu sebagai langkah pertama bagi mempergiatkan lagi usaha memacu transformasi dan pembaharuan parti Gerakan.

Beliau bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Presiden Gerakan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.

Ditanya kemungkinan pengumuman Koh itu akan menjejaskan persediaan BN Pulau Pinang untuk menghadapi pilihan raya, Muhyiddin berkata:

"Saya tidak fikir begitu... pasti beliau lebih tahu dan pucuk pimpinan pun faham selepas pilihan raya lepas apa pandangan pengundi dan pandangan mereka pada pemimpin parti, malah ahli dalam Gerakan juga pernah menyuarakan, mungkin sebab itu diambil kira."

Muhyiddin berkata beliau juga yakin ada pemimpin pelapis dalam Gerakan yang mampu memikul tanggungjawab dan meneruskan agenda parti itu bagi menentukan Gerakan akan terus mendapat sokongan rakyat.

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain