suria

Gas Asli & Arang Batu Kekal Sumber Utama Tenaga Asia Tenggara - ExxonMobil

KUALA LUMPUR: Gas asli dan arang batu akan terus menjadi sumber tenaga utama di Asia Tenggara, kata Exxon Mobil Corporation.

Penasihat Kanan Tenaga, Jabatan Perancangan Strategik Korporat, David S. Reed berkata, Malaysia akan terus menyaksikan permintaan yang semakin meningkat bagi tenaga elektrik yang didorong oleh sektor kediaman, komersial dan industri, terutamanya bagi penyamanan udara.

Beliau berkata, gas dan arang batu menghasilkan penjanaan elektrik pada kos terendah di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, dan ini akan menyumbang selanjutnya kepada peningkatan permintaan.

"Permintaan bagi arang batu dan gas bagi pengeluaran tenaga elektrik dijangka meningkat tiga kali ganda dari 2005 hingga 2030," katanya dalam satu meja bulat media mengenai prospek bagi tenaga anjuran ExxonMobil di sini hari ini.

"Hari ini, kira-kira 40 peratus tenaga dunia adalah hasil janaan arang batu, manakala kira-kira 20 peratus daripada gas asli.

"Bagaimanapun, kerajaan akan meraih faedah kerana gas asli menghasilkan hingga 60 peratus kurang pelepasan CO2 berbanding arang batu," katanya.

ExxonMobil mengunjurkan permintaan global bagi tenaga meningkat sebanyak 35 peratus dari 2005 hingga 2030, walaupun dengan peningkatan kecekapan di seluruh dunia.

Kata beliau, bekalan tenaga dunia semakin pelbagai dan akan terus begitu, dan ini menandakan arah aliran yang baik.

Permintaan bagi tenaga pengangkutan di Asia Tenggara akan meningkat hampir dua kali pada masa akan datang disebabkan oleh peningkatan pesat kereta milik peribadi serta pergerakan fret darat dan laut, katanya.

"Pertumbuhan permintaan industri disokong oleh pertumbuhan industri berat seperti pengeluaran keluli dan simen serta pembuatan kereta," katanya.

Untuk melakukan perubahan kepada adunan tenaga dunia akan mengambil masa berpuluh tahun, tetapi perubahan-perubahan itu sedang berlaku di Asia Tenggara dan dunia, katanya, sambil menambah bahawa dunia sedang menuju ke arah sumber-sumber tenaga yang lebih bersih, lebih pelbagai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain