suria

Wang Hilang Bukan Hasil Samun Oleh 3 Pegawai SPRM DI KLIA

SHAH ALAM: Wang tunai yang dilaporkan hilang daripada simpanan seorang pegawai penyiasat kes samun membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan wang hasil samun suspek kes itu seperti yang dilaporkan media.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata sebaliknya, wang tunai yang dilapor hilang berjumlah RM11,700 itu merupakan milik dua daripada tiga suspek dalam kes samun melibatkan AS$300,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) September lepas.

Beliau berkata kehilangan wang itu yang disimpan di dalam dompet, disedari kira-kira pukul 2 petang pada 8 November lalu oleh pengawai penyiasat terbabit setelah mendapati terdapat kesan umpil pada pintu bilik dan laci meja pejabatnya di bangunan lama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

"Siasatan sedang dijalankan dan 26 pegawai telah dipanggil untuk disoal siasat," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden MIC Datuk G.Palanivel. Tun Hisan berkata, siasatan berhubung kehilangan wang tunai itu dibuat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

"Kami akan siasat sama ada pejabat itu dipecah masuk dan dalam masa sama siasatan akan dibuat kemungkinan kehilangan wang tunai itu disebabkan kecuaian pegawai penyiasat terbabit," katanya.

Beliau berkata kawasan bilik pegawai penyiasat itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Tun Hisan berkata, polis memandang serius kes itu dan akan menyiasat semua aspek serta tidak teragak-agak mengambil tindakan jika ia membabitkan anggota polis sendiri. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain