suria

PM Puas Hati Kejayaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan

BANTING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berpuas hati dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan kerana banyak kejayaan yang dicapai, dengan antaranya ialah lebih 40,000 anggota polis dapat menjalankan rondaan pada masa kini.

"Disebabkan strategi Blue Ocean (Lautan Biru) kita dapat tempatkan banduan- banduan di kem-kem tertentu dan mereka dapat menjalani sisa-sisa hukuman mereka itu dalam keadaan yang lebih selesa dan mereka dapat mengeluarkan hasil pertanian yang memberi keuntungan kepada mereka dan juga kepada Angkatan Tentera," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 di Perkampungan Orang Asli di sini, Rabu. Selain itu, Perdana Menteri berkata strategi Lautan Biru juga dapat mengurangkan kos pembinaan jalan luar bandar di Sarawak kepada hanya RM50 juta, dengan menggunakan kepakaran Angkatan Tentera Malaysia berbanding dengan RM250 juta jika pembinaannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya.

Projek penanaman hasil pertanian bernilai tinggi di bawah program Lautan Biru Kebangsaan seperti tembikai madu (rock melon) juga sedang diusahakan di tanah-tanah milik Angkatan Tentera Malaysia di Jelebu Negeri Sembilan dan Sepang di Selangor, katanya.

Beliau berkata 700 unit kediaman daripada 887 buah rumah yang terlibat di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang terkandung di dalam Program Lautan Biru Kebangsaan dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini dan bakinya pada tahun depan. Najib berkata rumah-rumah yang dibina di bawah program PBR yang dilawatinya hari ini lebih selesa, tegap dan dilengkapi kipas angin serta pancuran mandi berbanding rumah asal yang daif.

Beliau berkata dengan sumbangan tenaga dan kepakaran Angkatan Tentera Malaysia, rumah-rumah dapat dibina dengan cepat dalam masa dua bulan dan penjimatan kos pembinaan sebanyak RM10,000 bagi setiap unit rumah.

"Dengan penjimatan kos pembinaan ini, lebih banyak rumah PBR diharap dapat dibina," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita mengenai pertemuannya dengan presiden-presiden parti komponen Barisan Nasional malam tadi, Najib yang juga Pengerusi BN berkata perjumpaan itu hanyalah rundingan biasa mengenai isu-isu semasa dan tidak menyentuh tentang pembahagian kerusi pilihan raya serta tiada amanat disampaikan beliau pada majlis itu.

"Kita boleh meeting bila-bila masa, cuma waktu yang saya ada adalah malam tadi sebab petang ini saya akan terbang ke Bali. Saya tiada masa lain lagi, pagi ni di Sepang. Saya tiba petang semalam, jadi hanya malam tadi, waktu yang saya ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain