suria

PAS Tak Perlu Melompat Sebaliknya Beri Kebebasan Untuk Polis Siasat Penangkapan Militan

PETALING JAYA: PAS tidak seharusnya melompat dengan penahanan 13 orang yang disyaki anggota militan oleh pihak berkuasa di Tawau, Sabah sebaliknya harus memberikan kepercayaan kepada polis untuk melakukan tugas mereka sebaik-baiknya.

Setiausaha Pergerakan Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, perkara yang melibatkan soal keselamatan negara tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya kata beliau, orang ramai patut lebih berasa bimbang dan khuatir puak militan terutamanya dari negara jiran menggunakan Sabah sebagai pusat transit.

Oleh yang demikian katanya, adalah sesuatu yang mengejut dan mengecewakan apabila PAS Sabah dengan segera mengkritik penangkapan itu hanya kerana kebetulan terdapat anggota mereka di kalangan militan berkenaan.

"Pemuda MCA juga ingin bertanya, jika benar mereka adalah pendakwah dan juga anggota PAS, rakyat ingin tahu bagaimanakah warga asing menjadi anggota parti itu," ujar Chai.

Ini kerana status kewarganegaraan mereka masih dalam siasatan polis.

Oleh yang demikian katanya, perkara sensitif begini yang melibatkan soal keselamatan negara perlu diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Apatah lagi, katanya, Tawau adalah hampir dengan negara jiran Filipina dan mungkin menjadi tempat transit kumpulan militan.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa mempunyai sebab yang kukuh untuk menahan mereka yang disyaki sebagai militan.

Sebagai fakta, Tawau adalah juga merupakan stesen penempatan pusat pertahanan hadapan negara yang dianggotai oleh Tentera Darat, Tentera Laut dan Udara negara yang mengawasi pergerakan pengganas serta kumpulan militan seperti Abu Sayyaf dari Filipina.

Artikel Berikut

Artikel Lain