suria

Masalah Pemberhentian Operasi Bas: SPAD Sedang Timbang Beberapa Opsyen

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang melihat beberapa opsyen yang akan dapat menyelesaikan masalah bas berhenti-henti yang kini sedang diancam kepupusan.

Yang terbaru operator bas di Negeri Sembilan pada Rabu terpaksa menghentikan operasi di beberapa laluan yang dilihat tidak menguntungkan kerana dibelenggu kerugian sehingga menjejaskan lebih 10,000 pengguna.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, beberapa cadangan sebenarnya telah dibentang dan dibincangkan dengan beberapa operator. “Bagaimanapun, penyelesaian kepada permasalahan ini akan membawa kepada beberapa keputusan yang sukar termasuklah isu tambang, pembiayaan dan subsidi.

"Tetapi kami berharap satu penyelesaian yang dipersetujui bersama akan dapat dicapai untuk kita maju ke hadapan,” ujarnya. Syed Hamid berkata, SPAD sememangnya menyedari akan permasalahan yang sedang dihadapi oleh operator-operator bas berhenti-henti di seluruh negara.

Sebab itulah antara langkah pertama yang diambil selepas SPAD dibentuk ialah untuk mengadakan pertemuan dengan semua operator bas.

“Yang kedua, semua pihak juga sedar, ini adalah satu industri yang semakin tenat dan tidak ada jalan penyelesaian yang mudah.

"Sebab itulah mengapa masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam satu malam,” ujar Syed Hamid lagi.

SPAD katanya akan mengemukakan jalan penyelesaian yang terbaik berhubung isu ini kepada kerajaan untuk dipertimbangkan. Mengenai situasi di Negeri Sembilan, Syed Hamid berkata, langkah interim yang sedang dilakukan sekarang ialah mengadakan perbincangan dengan beberapa operator lain sama ada mereka sanggup menawarkan perkhidmatan di laluan yang terjejas buat sementara waktu.

Syed Hamid berkata, apa yang mustahak buat masa ini ialah untuk memastikan masyarakat yang terjejas akibat daripada pemberhentian operasi bas di laluan mereka akan dapat menikmati pengangkutan awam semula.

Beliau juga berkata, SPAD akan mengadakan perjumpaan dengan Konsortium Transnasional Berhad, pemilik bas Cityliner pada Jumaat untuk membincangkan isu pemberhentian operasi mereka di laluan yang terlibat.

Artikel Berikut

Artikel Lain