suria

Najib Tiba Di Bali Untuk Menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-19

NUSA DUA (BALI): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Bali hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-19 dan berkaitannya mulai esok hingga Sabtu ini.

Najib diiringi isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan para pegawai kanan kerajaan.

Sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Legian Sanur, Ayodya Hotel di sini.

Difahamkan kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perkara-perkara berkaitan penarikan balik moratorium mengenai penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.

Semasa Mesyuarat Konsultansi di Lombok bulan lepas, Najib dan Yudhoyono bersetuju mengadakan pertemuan lagi di luar Sidang Kemuncak Asean di Bali, bagi memutuskan mengenai pelaksanaan mekanisme pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia dan perlindungan majikan Malaysia mereka.

Apabila mekanisme itu dimuktamadkan, ini akan menyiapkan proses rundingan antara kedua-dua negara mengenai isu itu, Indonesia memulakan semula penghantaran pembantu rumah mereka ke Malaysia mulai 1 Disember.

Indonesia mengenakan moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun, 2009 berikutan laporan-laporan penderaan pembantu rumahnya yang dilakukan oleh majikan Malaysia.

Beberapa siri rundingan kemudian diadakan yang membawa kepada menandatangani pindaan protokol Memorandum Persefahaman 2006 di Bandung pada 30 Mei lepas.

Bagaimanapun, isu-isu berkaitan mekanisme untuk melaksanakan protokol itu khasnya mengenai perlindungan untuk pembantu rumah dan majikan mereka, telah melambatkan penarikan balik moratorium itu.

Sidang Kemuncak Asean ke-19 akan juga dihadiri oleh Rakan Dialog Asean, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov yang akan mewakili Perdana Menteri Rusia, dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-6 di sini, yang akan diadakan selepas Sidang Kemuncak Asean. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain