suria

Muhyiddin Minta DBKL Jadi Pemudah Cara Untuk Komuniti Ibu Kota

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mempergiatkan usaha mendekati dan memberi kesedaran kepada komuniti ibu kota tentang tujuan sesuatu undang-undang dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam suasana masyarakat yang kompleks, tugas DBKL tidak seharusnya terbatas kepada menguatkuasakan undang-undang sahaja sebaliknya perlu menjadi pemudah cara kepada masyarakat untuk memahami matlamat undang-undang itu diwujudkan.

"Jadi untuk menentukan keberkesanan penguatkuasaan yang dilaksanakan maka penting bagi kita mendidik warga ibu kota tentang mustahaknya bukan sekadar menghormati undang-undang tetapi memahami apakah tujuan ia diadakan.

"Oleh itu, selain menguatkuasakan dan melaksanakan secara apa yang terkandung dalam undang-undang itu kita juga perlu berperanan sebagai pemudah cara, yang boleh membantu menjelaskan tentang aspek perundangan kerana mungkin sebahagian besar daripada mereka tidak memahami tujuan akta atau undang-undang kecil yang diwujudkan memandangkan tidak semua daripada mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan bekerja di dalam lapangan yang tidak berkaitan dengan undang-undang," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada petugas Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Jalan Tun Razak di sini sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rabu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain