suria

Khairy Setuju Debat Isu NFC

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Rabu menyatakan persetujuannya untuk bersemuka dengan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berhubung isu kontroversi ternakan lembu fidlot di bawah kendalian National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Rembau itu, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang jemputan rasmi berhubung debat terbuka tersebut.

"Tak ada masalah, tapi masalahnya ialah soal masa. Bila saya dapat surat, saya akan bincangkan mengenai tarikh dan masa.

"Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember, jadi kemungkinan selepas itu," katanya di lobi Parlimen di sini.

Tegas Khairy beliau sentiasa bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja termasuk Mohd Rafizi.

Isnin lalu Mohd Rafizi mencabar untuk berdebat dengan Khairy secara terbuka bagi merungkai kekusutan dakwaan skandal NFC serta memberi peluang kepada rakyat mendapatkan penjelasan terperinci.

Kontroversi isu projek ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan ini bermula apabila pembangkang mendedahkan beberapa dakwaan berkaitan penyelewengan peruntukan kerajaan terhadap projek berkenaan.

Terbaru, pembangkang turut mendedahkan dengan dakwaan bahawa kemudahan pinjaman mudah yang disalurkan kepada NFC telah digunakan untuk membeli sebuah kondominium mewah menerusi maklumat yang diperolehi daripada akaun NFC di CIMB Bank di Taman Tun Dr Ismail.

Artikel Berikut

Artikel Lain