suria

Gaji Minimum Kakitangan Anak Syarikat Kerajaan Selangor Dibuat Ikut Kemampuan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah melaksanakan gaji minimum RM1,500 sebulan bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dibuat berdasarkan kemampuan pendapatan kerajaan negeri.

Beliau berkata usaha itu dibuat kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa pentadbiran dan pengurusan untuk memantau pelaksanaan itu.

"Ia menunjukkan kerajaan negeri mampu menetapkan gaji minimum bagi kakitangan anak syarikatnya meskipun terdapat sekatan untuk berbuat demikian.

"Pelaksanaan ini dibuat dengan bijak dengan cara tidak memikirkan kesan daripada kenaikan perbelanjaan hasil daripada penetapan gaji minimum," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor baru-baru ini, Abdul Khalid berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bermula tahun depan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menggerakkan syarikat milik kerajaan negeri supaya memberi latihan kepada kakitangan untuk menaik taraf kemahiran seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan sendiri.

Abdul Khalid juga menafikan dakwaan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri bahawa kerajaan negeri Selangor mengamalkan diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri itu apabila hanya memperkenalkan gaji minimum untuk kakitangan anak syarikat kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain