suria

Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Berasingan

KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Pahang pada malam Selasa dan pagi Rabu.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, kejadian pertama berlaku di km 41 Jalan Kemaman-Kuantan pada 8.10 malam Selasa.

"Ketika kejadian mangsa, Zakaria Mohamad, 47, yang menunggang motosikal bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Kemaman.

"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai membelok simpang di sebelah kanan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kemaman.

Dalam kemalangan berasingan pula katanya, seorang lagi penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor binatang yang dipercayai babi di Jalan Kampung Perlok Hulu Cheka, Jerantut.

Zainalabidin berkata pada kejadian 4.30 pagi itu mangsa, Mohammad Ada Sunardi, 18, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian mangsa gagal mengelak binatang yang melintas di jalan berkenaan sebelum merempuhnya.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Jerantut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain