suria

DBP Akan fail Kenyataan Pembelaan Menjelang Isnin Berhubung Saman Dawama

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi tempoh sehingga Isnin ini untuk memfailkan kenyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan syarikat penerbitan, Dawama Sdn Bhd.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan 2 Dis bagi pengurusan kes selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak di dalam kamar.

Peguam Izahairani Izani mewakili Dawama manakala Sarah Abishegam mewakili DBP. Abishegam memberitahu pemberita DBP perlu memfailkan kenyataan pembelaan selewat-lewatnya Isnin ini.

Pada 17 Okt, Dawama memfailkan saman terhadap Lembaga Kawal Selia DBP dan Ketua Pengarahnya Datuk Termuzi Abdul Aziz mendakwa Termuzi mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat itu dalam program "Kerusi Panas" siaran Radio Bernama, pada 24 April.

Dawama mendakwa kenyataan itu membayangkan wujud salah urus perniagaan di pihak syarikat.

Syarikat itu menyatakan kenyataan berbaur fitnah itu bermaksud ia tidak kompeten untuk menjalankan tanggungjawabnya sepertimana termaktub dalam perjanjian konsesi mereka.

Menurut Dawama, syarikat dan Lembaga Kawal Selia DBP telah memeterai perjanjian konsesi bertarikh 19 Jun, 2002 berikutan hasrat lembaga untuk menswastakan kerja-kerja pracetak, reka bentuk dan susun atur, percetakan, pengedaran dan pemasaran pelbagai bahan bacaan.

Dawama menyatakan di bawah perjanjian itu, ia diberikan hak eksklusif untuk menjalankan tanggungjawab itu bagi tempoh 12 tahun dari 2002 hingga 2014.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa pada 21 Jun, defendan telah bertanggungjawab bagi penerbitan artikel bertajuk "Dawama Diberi Tempoh Baiki Prestasi Penerbitan Dan Jualan Bahan Terbitan DBP", serta versi bahasa Inggeris bagi artikel yang sama bertajuk "DBP gives Dawama time to buck up", di laman web Bernama.

Dawama menyatakan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah lebih RM500 juta. Dalam saman itu, syarikat itu memohon ganti rugi, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain