suria

Cadangan Wujudkan Lorong Khas Laluan Kereta Malaysia-Brunei Di Sempadan Dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan lorong khas di sempadan Malaysia-Brunei untuk mempermudahkan pergerakan keluar masuk kereta-kereta yang didaftarkan di kedua-dua negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata kajian itu akan dilakukan berdasarkan kemudahan infrastruktur kedua-dua buah negara dan persetujuan daripada Brunei.

"Bagi permohonan mengecop pasport sekali sebulan (untuk rakyat Malaysia yang kerap melalui sempadan Malaysia-Brunei), ia bergantung kepada persetujuan Brunei juga. Setakat ini, isu tersebut hanya dipromosikan oleh akhbar tempatan di Sarawak," katanya semasa menjawab soalan Hasbi Habibollah (BN-Limbang) pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Hasbi ingin tahu bilakah kerajaan akan memulakan kaedah mengecop pasport sekali untuk sebulan sahaja bagi rakyat Malaysia yang kerap melalui sempadan Malaysia-Brunei. Lee berkata pada masa kini terdapat kaedah "Kemudahan Pengembara Kerap" (FTF) iaitu satu kemudahan yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang kerap menyeberangi sempadan Malaysia-Brunei.

"Kemudahan ini adalah bagi mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen di pintu masuk kedua-dua buah negara dan melalui kemudahan ini pengguna FTF hanya perlu untuk mendapatan pengesahan ke atas pasport sekali untuk tiga bulan," katanya.

Ini kerana, katanya pengesanan dan aktiviti keluar masuk akan direkodkan secara eletronik dan pegesahan cap jari biometrik tanpa perlu mengisi sebarang borang pengistiharan mendarat.

"Kemudahan ini boleh digunakan di pintu masuk Pandaruan, Tedungan dan Sungai Tujuh," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain