suria

Suri Rumah Dipenjara Dua Hari Dan Didenda RM3,000 Kerana Mencuri

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dipenjara dua hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barangan di sebuah kompleks beli-belah.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar memerintahkan Norhazwani Abd Halim, 25, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Norhazwani mengaku bersalah mencuri barangan bernilai RM2,850.50 termasuk pakaian kanak-kanak, wanita, lelaki, selimut dan lampin pakai buang di Jusco, Taman Maluri, Cheras, di sini pada pukul 8 malam, 2 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Dalam rayuannya, tertuduh mengaku apa yang dilakukannya adalah salah dan memohon dijatuhi hukuman ringan kerana terpaksa memelihara tiga anak di mana anak ketiga bayi berusia sembilan bulan yang masih lagi menyusu badan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain