suria

Pembunuhan Banting : Dua Pakar Berbeza Pendapat

Oleh SALWA SHAARI SHAH ALAM: Seorang Pakar Perunding Radiologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa, mengakui bahawa dua pakar yang berbeza boleh membuat interpritasi berlainan walaupun dirujuk kepada satu spesimen yang sama.

Dr Zaleha Abd Manaf, 52, berkata demikian semasa menjelaskan mengenai penemuannya yang berbeza daripada kesimpulan oleh Pakar Perunding Jabatan Forensik, hospital yang sama, Dr Nurliza Abdullah, 46, berhubung spesimen-spesimen tulang yang ditemui pada siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain.

Pada pemeriksaan yang dilakukan Zaleha, beliau memutuskan hanya 25 spesimen daripada jumlah keseluruhan 2,040 sebagai berkemungkinan tulang manusia manakala pemeriksaan secara mata kasar dan kanta pembesar yang dilakukan oleh Nurliza mendapati jumlah spesimen yang dikatakan sebagai tulang manusia adalah sebanyak 2,030.

Bagaimanapun, Zaleha selaku saksi pendakwaan ke-71 yang disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon di Mahkamah Tinggi di sini, juga mengakui bahawa kesimpulan beliau itu tidak semestinya tepat seratus peratus dan berpendapat keputusan yang dibuat oleh Nurliza selaku pakar dalam bidang anthropopogi (tulang dan rangka manusia) adalah lebih tepat.

Manjeet : Adakah kamu mengatakan kesimpulan kamu tidak tepat?

Zaleha : Saya adalah pakar radiologi dan interpritasi saya dibuat hanya berdasarkan imej x-ray.

Manjeet: Jadi, kamu katakan dua orang yang melihat pada objek yang sama boleh mendapat kesimpulan yang berbeza?

Zaleha : Ia boleh berlaku.

Sementara itu, semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, saksi yang telah mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan sejak November 1986 memberitahu, beliau tidak menyediakan laporan bertulis mengenai ujian x-ray yang dilakukan pada 15, 16 dan 21 September tahun lepas memandangkan beliau tidak boleh mengatakan ia adalah tulang manusia.

Laporan bertulis hanya disediakan untuk ujian x-ray bertarikh 22 September 2010 yang mepunyai 25 spesimen yang berkemungkinan tulang manusia.

"Pada serpihan tulang pada filem x-ray, ada tanda- tanda retakan dalam bentuk melintang atau melengkung yang merupakan kesan-kesan daripada haba tetapi saya tidak boleh pastikan berapakah suhu haba itu," katanya.

Zaleha sedang memberi keterangan terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, yang sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan Ahmad Kamil, 32, yang didakwa hilang bersama pengasas kosmetik jenama Nouvelle Visages tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini pada pukul antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahtar Tahir akan bersambung pada Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain