suria

Pembangkang Gesa ROS Perjelas Status Pendaftaran Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan maklumat hitam putih berhubung status permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai gabungan parti politik yang sah.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat rasmi berhubung status terkini permohonan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP perlu bagi memastikan gabungan pembangkang itu mengambil tindakan lanjut mengenai pendaftarannya.

"ROS perlu buat keputusan hitam putih terhadap status permohonan terdahulu yang membabitkan Datuk Zaid Ibrahim. Kalau tolak, nyatakan sebabnya. Munkin mereka akan beri alasan bahawa Datuk bukan lagi anggota.

"Tapi bila kita terima (surat rasmi), kita akan kemukakan permohonan baru sepantas mungkin selepas mendapat kelulusan Majlis Presiden," katanya di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Menurut Saifuddin, kekeliruan mengenai status pendaftaran Pakatan Rakyat timbul apabila Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman mengeluarkan kenyataan bahawa pakatan pembangkang itu tidak mengemukakan permohonan baru selepas Zaid meninggalkan PKR.

"Ketua Pengarah ROS keluarkan kenyataan politik mencabar Pakatan Rakyat apabila mengatakan kita tidak mengemukakan permohonan baru setelah Datuk Zaid meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ditegaskan, kita telah mengambil langkah sewajarnya apabila menggantikan Datuk Zaid dengan Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai penyelaras Pakatan Rakyat.

"Permohonan itu telah dikemukakan kepada Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Pertubuhan yang waktu itu enggan menerima bagi pihak ROS kerana permohonan terdahulu masih belum dimuktamadkan oleh ROS.

"Keenggenan mereka menerima menyebabkan permohonan itu tertangguh," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain