suria

Pelihara Hubungan Dua Hala Malaysia - Indonesia Melalui Kerjasama NGO

JAKARTA: Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia peringkat masyarakat yang sering diganggu isu bilateral seperti masalah tenaga kerja Indonesia dan masalah sempadan darat dan maritim, boleh ditangani dengan jalinan kerjasama peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara kedua-dua negara.

Sebuah NGO terbesar di Indonesia, Kesatuan Organisasi Serbaguna Gotong-Royong (KOSGORO) percaya hubungan kerjasama peringkat NGO boleh membawa manfaat baik dalam usaha mensejahterakan masyarakat kedua-dua negara.

Selain itu, NGO-NGO berkenaan boleh memainkan peranan memberi penjelasan mengenai sesuatu isu sehingga ia dapat mendinginkan kembali suasana.

Setiausaha Agung KOSGORO Syahrul Bungamayang berkata kesatuan itu bersedia untuk bekerjasama dengan NGO di Malaysia dalam usaha merapatkan hubungan sosial kedua-dua negara.

"Kita ingin bekerjasama dengan NGO di Malaysia dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat tidak hanya di bidang ekonomi, tapi juga di bidang lain seperti pendidikan, kesihatan dan sosio-budaya.

Syahrul berkata pada masa ini hubungan KOSGORO dengan Malaysia lebih banyak bertumpu kepada bidang ekonomi dan tenaga kerja.

Kesatuan itu, melalui Badan Pengembangan Sumber Daya Manusia (BPSDM) pernah menjalin hubungan kerjasama dengan sebuah konsortium tenaga kerja di Malaysia.

"Sampai sekarang KOSGORO tidak melihat perbezaan persepsi antara pimpinan kerajaan kedua-dua negara," katanya.

Kosgoro kini mempunyai lebih enam juta anggota di seluruh Indonesia termasuk anggota Parlimen yang mewakili hampir semua parti politik serta NGO beraliran agama seperti dari Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiah.

"Kita sebagai NGO yang berkecuali, berperanan menjelaskan perkara sebenar, tidak memihak kepada sesiapa tetapi menyatakan kedudukan sebenar sehingga masyarakat memperolehi maklumat sebenarnya," katanya.

Syahrul berharap NGO-NGO di Malaysia menyambut baik saranan beliau dan turut aktif membantu memelihara hubungan masyarakat kedua-dua negara untuk kepentingan dan faedah bersama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain