suria

Murid Tahun Lima Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

KUANTAN: Seorang murid lelaki tahun lima maut selepas dirempuh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti dalam satu kejadian langgar lari berhampiran susur ke Kuantan dekat Persimpangan Bunga Cengkih, di sini.

Mangsa, Mohd Amirul Hakim, 11, yang cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan disahkan meninggal dunia 2.20 pagi ini.

Pegawai Penguatkuasa Pentadbiran Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 4.15 petang semalam, mangsa yang menunggang basikal untuk pulang ke rumahnya di Kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dari arah Bukit Istana dilanggar sebuah kenderaan.

Beliau berkata Mohd Amirul dikatakan menyeberang pembahagi jalan sebagai jalan pintas ke rumahnya sebelum dilanggar.

"Mangsa tercampak ke atas jalan manakala pemandu kenderaan yang tidak dikenal pasti itu bertindak melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Zainalabidin berkata mangsa merupakan murid tahun lima Sekolah Rendah Indera Mahkota, di sini.

"Setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan terbabit dan kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain