suria

Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Samun Dan Bunuh Wanita Di Alor Gajah

MELAKA: Seorang lelaki yang dibebaskan daripada tahanan polis Jun lepas kerana kesalahan samun, ditahan semula semalam bagi membantu siasatan dua kes samun dan bunuh seorang warga emas di Alor Gajah, 9 November lepas.

Lelaki berusia 32 tahun yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu ditahan di Tangkak, Johor pada pukul 5.30 petang, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Superintenden R.Gunarajan.

"Polis berjaya menjejaki suspek di lokasi itu ketika dia sedang menaiki motosikal. Polis memintas motosikal suspek sehingga dia jatuh," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Dalam kejadian Rabu lepas, Tey Ah Keh, 64, mati apabila ditikam di kedai runcit miliknya di Kampung Parit Melana dalam kejadian samum pada pukul 1.45 petang.

Setengah jam selepas itu, lelaki terbabit disyaki menyamun sebuah kedai telefon bimbit di Taman Kasawari, Gangsa kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama menyebabkan peniaga kedai itu Alvin Cham Boon Chuan, 32, cedera akibat ditikam di kiri dan kanan perutnya.

Gunarajan berkata polis turut menemui dadah dalam poket lelaki itu dan siasatan awal mendapati lelaki itu disyaki terlibat dalam 36 kes pecah rumah dan samun di sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain