suria

Kegiatan Kumpulan Remaja Curi Kereta Terbongkar Selepas Kemalangan

SANDAKAN: Kegiatan mencuri kereta oleh sekumpulan empat remaja terbongkar selepas mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Singapura berhampiran Padang Bandaran dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian pada 1.32 pagi itu, kereta yang dinaiki empat remaja itu terbabas lalu merempuh sebatang pokok dan mengakibatkan dua daripada mereka cedera parah manakala dua lagi mengalami cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden Fadzil Mohd Ali berkata remaja terbabit berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Katanya siasatan polis mendapati kereta yang mereka gunakan dilaporkan dicuri di Kampung Tinusa Dua di Batu 7 di sini.

"Siasatan juga mendapati kumpulan remaja itu pernah terlibat dalam kes curi kereta untuk tujuan berjalan-jalan," kata Fadzil.

Katanya dua daripada remaja itu kini berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Duchess of Kent di sini manakala dua lagi ditempatkan di wad biasa.

Fadzil berkata polis telah memberkas seorang lagi anggota kumpulan itu dan sedang mengesan dua orang lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain