suria

Kadar Gaji Minimum Dikemuka Kepada Kerajaan Hujung Tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka akan menerima cadangan dan syor kadar gaji minimum daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN)selewat-lewatnya akhir tahun ini, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata MPGN, yang ditubuhkan 15 September lepas dan diberi peranan mengkaji secara menyeluruh kadar serta liputan gaji minimum, akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Beliau memberitahu dewan, majlis itu yang berperanan bagi pihak kerajaan membuat keputusan dan bertindak dalam menjamin kebajikan pekerja di negara ini, sedang mengkaji kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor, jenis pekerjaan, kawasan dan wilayah.

Selain itu ia juga mengkaji faktor sosial, perbelanjaan, kadar inflasi serta perbandingan struktur gaji dengan negara-negara luar, katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu perkembangan terkini perbincangan dalam MPGN.

Sambil menegaskan majlis itu sebuah entiti bebas dianggotai 25 orang terdiri daripada penggerak utama kesatuan pekerja, wakil majikan, kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO), Maznah berkata kali terakhir badan itu bermesyuarat ialah Khamis lepas.

MPGN dipengerusikan oleh Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dibantu sebuah jawatankuasa teknikal perundingan telah mengadakan mesyuarat sebanyak tujuh kali, bekerjasama dengan Bank Dunia dan mengadakan sesi perundingan dengan orang awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain