suria

IIM Anjur Pertandingan Penulisan Integreti Kewartawanan

KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan menganjurkan Pertandingan Penulisan Integriti Kewartawanan yang bermula awal Januari tahun depan dan berakhir pada 15 September, 2012.

Presiden IIM Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata pertandingan itu bertujuan menyemarakkan pembudayaan integriti di kalangan masyarakat pelbagai sektor di Malaysia dan sebagai agenda penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang beretika.

"Terdapat empat kategori bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) yang akan dipertandingkan dalam satu kategori iaitu media cetak arus perdana.

"Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang bernilai RM18,000 dan keputusan pertandingan dan pemenang akan diumumkan pada November tahun hadapan, sempena sambutan Hari Integriti Nasional 2012," katanya pada satu sidang media di Institut Integriti Malaysia di sini.

Beliau berkata media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat dan pertandingan itu akan mendorong penulis serta wartawan untuk menerbitkan penulisan dan rencana bertemakan integriti dalam media.

Mohd Tap berkata syarat-syarat penulisan perlu berasaskan lima tekad integriti antaranya mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan; meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi dan meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat.

Para peserta boleh melayari halaman web di www.mpi.my dan www.iim.com.my untuk keterangan lanjut mengenai pertandingan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain