SUNGAI PETANI: Enam unit rumah kedai satu tingkat dan sebuah bangunan Pejabat Majlis Ketua Kampung (MKK) Mukim Kota Kuala Muda di Pekan Kota Kuala Muda dekat sini musnah dalam satu kebakaran kira-kira 1.45 pagi Selasa.Seorang mangsa Othman Hamid, 59, yang menjalankan perniagaan barangan runcit berkata dia mendapat tahu berhubung kejadian yang menimpa kedainya itu daripada anak saudara lelakinya sebelum bergegas ke tempat kejadian. "Itu pun jiran dari kedai yang berdekatan telefon dia sebelum dia menelefon saya sebab waktu itu di kedai tidak ada siapa. Apabila saya sampai sini saya tengok kedai dah terbakar, barang-barang tidak dapat diselamatkan sebab api marak dengan besar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.Katanya dia mengalami kerugian kira-kira RM100,000 berikutan kebakaran itu."Saya ada tiga pintu kedai yang masing-masing 10 kaki, kecil sahaja dan semua barang-barang runcit seperti daging-daging sejuk beku dalam kedai saya ini habis terbakar semua. Kedai saya ini boleh dikatakan taraf mini market," katanya.Othman berkata dia mengambil alih kedai runcit itu daripada ayahnya yang telah mengusahakan sejak 38 tahun lalu.Katanya bangunan rumah kedai itu dibuat atas tanah hak milik Masjid Kota Raja dengan sewa sebanyak RM200 sebulan.Sementara itu Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Mohd Aziz Samsudin ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.56 pagi dan tiba di lokasi kejadian 17 minit kemudian."Sewaktu sampai di tempat kebakaran ini kedai telah terbakar sebanyak 80 peratus memandangkan api merebak terlalu pantas," katanya.Katanya pihak bomba dapat mengawal api pada pukul 2.40 pagi dengan kekuatan dua jentera, 16 orang anggota selain bantuan empat jentera sukarela."Satu jentera dengan lapan anggota dari Tikam Batu dan satu jentera dengan lapan orang anggota juga dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani," katanya.Bagaimanapun Mohd Aziz berkata tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA