suria

Bunuh: Penarik Kereta Dihukum Gantung

JOHOR BAHARU: Seorang penarik kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita warga emas, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas Khairul Eirman Aziz, 31, yang didakwa membunuh Tan Kim Ayu, 65, di rumah bernombor 42, Kampung Tengah 1, Telok Kerang, dekat Pontian, antara pukul 5 pagi dan 1.30 petang, 29 November 2007.

Khairul Eirman yang berasal dari Penerok, Pontian, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Khairul Eirman diwakili peguam Mohd Haijan Omar.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi termasuk tertuduh sendiri.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi bersebelahan, seorang pekebun kelapa sawit terlepas hukuman gantung apabila mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 951.38 gram kanabis, sembilan tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan ke atas Yazid Maon, 37, yang didakwa mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah bernombor lot 6730, Jalan Permatang 5, Kempas Baru, Tampoi, di sini, kira-kira pukul 11.05 malam, 21 Mei 2002.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Yazid yang berasal dari Felda Semenchu, Kota Tinggi, turut dibebaskan daripada pertuduhan kedua kerana memiliki sejumlah 9.72 gram methamphetamine di alamat, masa dan tarikh yang sama, yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Ghazali dalam penghakimannya berkata pihak mahkamah berpuas hati bahawa hujah pihak pembelaan bukan bersifat rekaan dan penafian semata-mata.

"Terdapat juga beberapa keterangan tertuduh yang konsisten terutama berhubung pemilikan dan pengetahuannya terhadap dadah yang ditemui di dalam kotak di rumah berkenaan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Md Zahar Ngah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain