suria

Tengku Mahkota Kelantan Minta Penduduk Waspada Ancaman Banjir

KOTA BAHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra hari ini meminta rakyat terutama yang tinggal di tebing Sungai Kelantan dan Sungai Golok agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir akibat gelombang besar yang diramalkan pada musim tengkujuh kali ini.

Baginda bertitah oleh kerana banjir banyak memberikan kerosakan harta benda dan sering mengorbankan nyawa, rakyat perlu memberi perhatian agar perancangan awal dapat dibuat untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Titah baginda itu disampaikan oleh Ketua Istiadat Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad di Istana Balai Besar di sini.

"Penjagaan kesihatan juga perlu diberi perhatian semasa banjir dan selepas banjir termasuk di pusat pemindahan agar minum air dan makanan yang dimasak dan menjaga kebersihan diri bagi mengelak berlakunya penyakit berjangkit seperti taun, demam denggi dan malaria," titahnya.

Baginda berharap para belia khususnya remaja dapat menjadi sukarelawan semasa banjir.

Baginda juga berharap agensi kerajaan dan pihak tertentu dapat merancang dengan teliti usaha untuk membantu mencegah dan mengurangkan kesan bencana itu.

"Kerajaan dan rakyat perlu menjadikan bencana banjir seperti di Thailand sebagai iktibar kepada semua," titahnya. -BERNAMA

Artikel Lain