suria

SPRM Rujuk Dakwaan Penyelewengan NFC Kepada Polis

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)mengesahkan sudah merujuk dakwaan berlaku penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) kepada pihak polis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, SPRM berkata, pihaknya mengesahkan bahawa satu aduan sudah diterima daripada orang ramai berhubung isu pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta yang dikatakan menggunakan wang NFC.

"Aduan ini sudah dirujuk kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM. "Selepas diteliti aduan itu, bahagian ini sudah mengklasifikasikan aduan terbabit mengikut kesalahanan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan mengikut bidang kuasa SPRM sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009)," katanya.

Sehubungan itu, SPRM sudah diminta merujuk aduan terbabit kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan mengikut ASPRM 2009.

"Tindakan sudah diambil dengan merujuk aduan ini kepada pihak PDRM," katanya. Katanya, pengadu sudah dimaklumkan berkenaan keputusan itu dan beliau bersetuju dengan tindakan SPRM.

Kontroversi isu projek ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan bermula apabila pembangkang mendedahkan beberapa dakwaan berkaitan penyelewengan peruntukan kerajaan terhadap projek berkenaan.

Artikel Lain