suria

Salun Kecantikan Palsu: Pengguna Digesa Lapor Kepada Kementerian Kesihatan & Tribunal Tuntutan Pengguna

KUALA LUMPUR: Mangsa penipuan salun kecantikan tidak perlu malu untuk tampil membuat laporan kerana ia dapat membantu Kementerian Kesihatan menangkap pihak yang tidak bertanggungjawab ini daripada mengaut keuntungan yang berbilion ringgit.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ketika ini, pihak kementerian sedang mencari mekanisme untuk mengheret pengusaha pusat kecantikan yang tidak bertanggungjawab serta menguatkuasa undang-undang bagi melindungi hak pengguna.

“Pengguna perlu memainkan peranan dalam mengenalpasti serta membuat aduan terhadap pengusaha kecantikan yang didapati menyeleweng serta mereka tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kecantikan dan Terapi Malaysi, Datin Dr Clara Chee berkata industri kecantikan di negara ini telah berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun ini.

Persatuan berkenaan menjangkakan industri tersebut mampu memberi pulangan bernilai RM8 bilion setahun dan sekurang-kurangnya seorang daripada tiga orang dewasa di Malaysia menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh salun kecantikan.

Bagaimanapun, kebanykan salun baru telah melanggar etika serta garis panduan yang ditetapkan kerana keghairahan mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Kesannya, mereka menggunakan bahan serta mesin yang kurang berkualiti, akhirnya ia menyebabkan kulit pelanggan mengalami masalah seperti mengelupas serta melepuh dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Chee berkata, walaupun tidak ada undang-undang spesifik yang boleh menghukum pengusaha sedemikian namun pengguna boleh membuat laporan terhadap salun kecantikan yang tidak bertanggungjawab ini.

Ini kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pengguna, 1999 yang membolehkan mereka mendapat ganti rugi serta pihak berkuasa boleh mengambil tindakan termasuk menutup pusat kencantikan yang didapati melanggar prosedur yang ditetapkan.

Bagi suri rumah, M.Choo, 45, yang pernah menjadi mangsa sebuah salun kecantikan berkata dia pernah ditawarkan dengan pelbagai hadiah oleh pengusaha pusat kencatikan tersebut bagi menarik dia menyertai pakej yang ditawarkan.

Bukan itu sahaja, malah kulit wajahnya menjadi hodoh dan meninggalkan kesan parut menjalani rawatan kecantikan di salun berkenaan.

Sebelum ini dia telah dipujuk untuk mengambil pakej rawatan laser yang bernilai RM4,500 bagi membuang kulit mati serta tompok hitam di wajahnya.

“Selepas menjalani rawatan tersebut sebanyak lima sesi, kulit saya melepuh teruk. Saya buat laporan kepada mereka. Mereka (pusat kecantikan) menawarkan dua lagi sesi secara percuma namun ia hanya menyebabkan keadaan kulit wajah saya lebih teruk,” katanya.

Selepas itu, Choo mendapatkan bantuan dengan mengadu kepada Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Michael Chong.

Tahun lalu, biro berkenaan menerima laporan sebanyak lapan kes terhadap salun kecantikan, dan terdapat seorang mangsa yang telah membuat bayaran hingga RM25,100.

Pada tahun ini pula, pihaknya telah menerima sebanyak empat laporan, melibatkan jumlah yang lebih besar iaitu, RM25,300.

Tribunal Tuntutan Pengguna telah menunjukkan laporan terhadap salun kencatikan telah meningkat sebanyak 60 peratus dengan 253 tahun lalu berbanding 401 kes telah dilaporkan tahun ini.

Artikel Lain