suria

Polis Seremban Musnah Dadah Bernilai Lebih RM50,000

SEREMBAN: Polis Seremban memusnahkan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata kesemua dadah yang dibakar itu adalah bagi 611 kes dadah yang telah diselesaikan di mahkamah sejak 2004.

Katanya dadah tersebut adalah termasuk kanabis seberat 3.3 kilogram, ketamine (954.97 gram), mitragynine (ketum) (899.76 gram), Heroin/Monoacetymorphines (129.72 gram) dan Methamphetamine/ATS seberat 109.8 gram.

"Dalam prosedur kes-kes narkotik setelah selesainya kes, ekshibit dadah tersebut wajib dimusnahkan mengikut peruntukkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian D207," katanya pada sidang media di IPD di sini.

Dalam perkembangan lain, Saiful Azly mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik penipuan yang dilakukan oleh sesetengah pihak menerusi internet.

Katanya, walaupun perkara ini kerap dilaporkan oleh media namun masih ramai yang tidak sedar dan ada yang terus terpedaya sehingga kerugian beribu-ribu ringgit. - BERNAMA

Artikel Lain