suria

Malaysia Adakan Sambutan Hari Unesco Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Buat julung-julung kalinya, sambutan Hari UNESCO Malaysia akan dirayakan Jumaat ini selepas 50 tahun negara menganggotai pertubuhan antarabangsa itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed berkata sambutan itu bertujuan mengetengahkan kepada masyarakat penglibatan aktif serta kejayaan-kejayaan Malaysia dalam UNESCO.

"Idea sambutan Hari UNESCO Malaysia dicadangkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (yang juga Menteri Pelajaran) pada 12 April lepas semasa mempengerusikan Mesyuarat Agung SKUM (Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia) kali ke-37," katanya dalam satu kenyataan.

"Menurut YAB TPM, memandangkan Malaysia begitu aktif dalam UNESCO, adalah wajar untuk menyambut satu hari yang menggambarkan kejayaan-kejayaan negara di mana ia memberikan penghormatan dan anugerah kepada rakyat Malaysia yang telah menaikkan nama Malaysia," kata Rosli yang juga naib presiden SKUM.

Muhyiddin akan merasmikan sambutan serta melancarkan laman web Kelab UNESCO Malaysia di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di sini pada petang Jumaat ini.

"Kita memilih November untuk mengadakan sambutan ini kerana UNESCO ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 16 Nov 1946," katanya.

"Bersempena majlis perasmian itu, kita juga akan meraikan 20 orang rakyat Malaysia yang mendapat pengiktirafan UNESCO dalam pelbagai bidang sejak menjadi anggotanya," katanya.

Sambutan Hari UNESCO akan juga diadakan di Pasar Seni di sini pada hari Sabtu dari 10 pagi hingga 6.30 petang.

"Program ini terbuka kepada orang ramai dan juga para pelancong asing untuk melihat dengan lebih dekat akan penglibatan Malaysia dalam UNESCO," kata Rosli.

Turut diadakan persembahan-persembahan kebudayaan daripada para pelajar sekolah antarabangsa yang akan mempamerkan pakaian-pakaian tradisional masyarakat Timur Tengah serta persembahan pelbagai jenis tarian tradisional. Malaysia (ketika itu Malaya) menganggotai UNESCO pada 16 Jun 1958, setahun selepas negara mencapai kemerdekaan, katanya. Rosli berkata Malaysia menduduki lembaga eksekutif UNESCO sebanyak enam kali dan baru sahaja menamatkan penggal selama tiga tahun dari 2008 hingga 2011.

Lembaga eksekutif itu merupakan badan penting dalam UNESCO yang membincangkan isu serta strategi pelaksanaan program pertubuhan itu yang baru-baru ini mendapat tumpuan dengan keanggotaan Palestin.

Menurut beliau, SKUM dibentuk pada Julai 1966 untuk menyelaraskan program pendidikan, saintifik dan kebudayaan di kalangan pelbagai kementerian.

Katanya, enam jawatankuasa kecil tetap juga dibentuk dan dianggotai oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Luar bagi memperkasa penglibatan Malaysia dalam UNESCO. -BERNAMA

Artikel Lain