suria

Kerajaan Sedia Bantu Beri Latihan Keselamtan Kepada Agensi Media

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia membantu firma-firma media untuk memberi latihan keselamatan kepada para wartawan dan jurukamera yang membuat liputan ke negara-negara berkonflik.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata pada masa yang sama firma-firma ini juga harus ada tatacara atau Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi situasi tersebut.

"Kerajaan sedia membantu mana-mana firma seperti latihan ala-tentera mengenai taktik dan teknik menghadapi kelangsungan hidup," katanya semasa menjawab soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) pada Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Santiago ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan meminta firma media untuk memastikan latihan keselamatan diberikan kepada pemberita sebelum dihantar ke negara-negara dalam keadaan perang.

Salang berkata firma-firma media pula haruslah bersedia membekalkan kelengkapan keselamatan seperti baju kalis peluru, topi besi, jaket keselamatan, topeng gas, alat-alat perkhemahan untuk kegunaan wartawan dan jurukamera di zon-zon berbahaya.

"Ini bukanlah sesuatu perkara yang diwajibkan tetapi kesemua firma di negara ini adalah digalakkan untuk mengambil bahagian dalam latihan tersebut."

Katanya, langkah ini untuk menyediakan wartawan supaya mereka lebih bersedia dalam menghadapi dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. -BERNAMA

Artikel Lain