suria

JPAM Siap Sedia Hadapi Banjir

KUALA LIPIS: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kini bersiap sepenuhnya untuk menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata keanggotaan sukarela JPAM kini seramai 194,321 orang, manakala 1,154 orang daripadanya merupakan penjawat tetap dalam pengurusan dan pentadbiran.

"JPAM bersiap sedia sepenuhnya dan jika bencana banjir berlaku, anggota JPAM diarah berada di kawasan banjir dalam tempoh kurang enam jam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival JPAM Pahang Bersama Masyarakat dan perasmian Pejabat Daerah JPAM Lipis, di sini, Ahad.

Beliau berkata JPAM juga sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai keadaan cuaca di semua tempat.

"Operasi yang akan dilaksanakan ialah memindahkan mangsa ke pusat pemindahan, menyelamat dan kecemasan, membantu tugas bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan operasi membersih premis dan bangunan selepas banjir," katanya.

Beliau berkata JPAM kini mempunyai kekuatan logistik iaitu dua lori berat dua tan, lori tiga tan (49 buah), lori berat lima tan (31 buah) dan 287 bot penyelamat. -BERNAMA

Artikel Lain