suria

Jabatan Pelajaran Kedah Sedia Pusat Peperiksaan Alternatif di Kawasan Banjir

ALOR SETAR: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah menyediakan pusat peperiksaan alternatif bagi membolehkan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menduduki peperiksaan itu jika berlaku banjir.

Pengarah Pelajaran Negeri Mansor Lat berkata sebanyak 18 buah sekolah di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang telah dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan setiap sekolah tersebut mempunyai pusat peperiksaan alternatif bagi membolehkan para pelajar menduduki peperiksaan dengan sempurna.

"Selain daripada pusat peperiksaan, kita juga telah memaklumkan kepada calon-calon peperiksaan yang berada di kawasan berisiko banjir supaya berpindah ke rumah rakan-rakan atau saudara mara yang dekat dengan pusat peperiksaan.

"Sekiranya berlaku banjir, mereka boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang berdekatan tanpa perlu pergi ke tempat peperiksaan yang sebenarnya. Mereka boleh menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang berhampiran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mencegah Jenayah Dalam Kalangan Murid Sekolah-sekolah Negeri Kedah 2011 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Isnin.

Beliau berkata JPN akan menubuhkan bilik gerakan banjir yang akan berhubung dengan bilik gerakan banjir di peringkat daerah dan negeri untuk menyelaraskan kerja-kerja sekiranya perlu pemindahan calon dan sebagainya.

"Saya juga ingin menasihatkan calon-calon peperiksaan SPM dan STPM jika cuaca tidak menentu mereka kena sentiasa mengikuti siaran-siaran radio dan televisyen kerana bilik gerakan banjir peringkat jabatan akan membuat pengumuman di radio jika berlaku banjir.

"Kita juga turut memaklumkan kepada calon-calon yang berada di kawasan berisiko banjir supaya membawa bersama dokumen penting semasa berpindah dan kita juga telah meminta pihak sekolah menyediakan peralatan-peralatan peperiksaan bagi memudahkan calon-calon menghadapi peperiksaan," katanya.

Mansor berkata pihaknya turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk polis dan bomba bagi membantu JPN membawa soalan, penyelia peperiksaan dan pengawas peperiksaan ke pusat peperiksaan menggunakan kenderaan berat jika berlaku banjir. -BERNAMA

Artikel Lain