suria

IPT Perlu Ada Sistem Penilaian Untuk Tarik Rakyat Sambung Belajar

KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan harus mempunyai sistem penilaian yang mampu menarik minat rakyat Malaysia yang sudah bekerja menyambung pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, buat masa sekarang Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah mengorak langkah dengan mengadakan kerangka penilaian yang mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan. "Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalakkan orang dewasa yang telah lama bekerja dan berpengalaman untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional 2011-2020 di sini, Isnin.

Beliau berkata inisiatif ini sebenarnya sudah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Kanada.

Malaysia menyedari bahawa jurang pendapatan di antaranya dengan negara-negara maju tersebut perlu dirapatkan dan ketika persaingan bertambah sengit, faktor modal insan yang mempunyai bakat terunggul akan menjadi penentu, katanya.

"Di rantau ini, negara seperti Jepun, Singapura dan Korea berjaya mengekalkan bakat-bakat mereka hasil daripada kemampuan negara tersebut meletakkan strategi dan mekanisme yang tepat untuk memberi fokus kepada kekuatan sektor industri yang terpilih dalam negara tersebut," katanya.

Serentak dengan itu, negara terbabit telah membangunkan program-program latihan dan pembangunan sumber manusia, meningkatkan kemahiran dan pangkalan data modal insan berkepakaran untuk memastikan keperluan modal insan yang relevan dapat dihasilkan, katanya.

Katanya, dalam konteks ini, sistem pendidikan negara akan terus mengalami perubahan dan penambahbaikan untuk membangunkan modal insan yang dapat m memenuhi keperluan industri dan negara. "Saya percaya sistem pengajian tinggi negara mampu menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berbakat tinggi yang berfikiran kritis serta mempunyai kepimpinan dan sifat keusahawanan yang berdaya saing serta berdaya maju dalam dekad-dekad yang akan datang," katanya.

Sekarang Malaysia telah membangunkan pelan induk PSH yang akan meletakkan negara di tempat negara maju melalui empat strateginya iaitu memperkasakan mekanisme dan infrastruktur PSH, meningkat kesedaran dan penyertaan awam terhadap PSH, memastikan kesinambungan PSH di kalangan rakyat dan menyediakan dana yang akan menyokong program PSH, katanya.

Muhyiddin juga menyentuh mengenai aspek terpenting dalam kejayaan program PSH iaitu akreditasi dan pengiktirafan yang sekarang ini diselaraskan oleh Majlis Latihan Vokasional dan Latihan dalam bentuk persijilan.

Akreditasi dan pengiktirafan program PSH akan membuka peluang kepada pelajar untuk menyambung pelajaran mereka ke tempat yang lebih tinggi atau membolehkan mereka mendapat gaji yang lebih baik, katanya.

Presiden OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dalam ucapannya berkata, penduduk Malaysia hari ini sudah mencapai 28.9 juta orang dan 66 peratus daripada mereka berada dalam lingkungan umur bekerja iaitu antara 15 dan 64 tahun.

Pendidikan sepanjang hayat negara ini dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971 dan kemudian Universiti Tun Abdul Razak mengembangkannya dalam bentuk virtual pada tahun 1988, katanya.

Di OUM, seramai 40,148 siswazah telah lulus dari universiti itu sejak 10 tahun lepas dan daripada jumlah itu, 32,352 adalah guru. -BERNAMA

Artikel Lain