suria

Gaji Minimum: Kerajaan Selangor Amal Diskriminasi Terhadap Penjawat Awam

SHAH ALAM: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor berkata kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri itu dengan memperkenalkan gaji minimum hanya kepada kakitangan anak syarikat kerajaan negeri semata-mata.

Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) berkata amalan itu tidak sepatutnya wujud dengan mengambil kira kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini yang berkata kerajaan negeri berjaya meningkatkan pendapatan dan hasil kerajaan negeri dalam pembentangan belanjawan negeri 2012 baru-baru ini.

"Kalau kerajaan negeri mengatakan ada pertambahan pendapatan, kenapa tidak berikan dan laksanakan gaji minimum kepada semua kakitangan awam Selangor.

"Ini jelas menunjukkan hasil dan pendapatan itu tidak disalurkan untuk manfaat kepada seluruh kakitangan awam negeri," katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

Abdul Khalid ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2012 baru-baru ini berkata pelaksanaan gaji minimum bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM1,500 sebulan akan bermula tahun depan. Beliau berkata langkah itu adalah satu usaha menggerakkan syarikat milik kerajaan negeri agar memberikan latihan kepada kakitangannya bagi menaik taraf kemahiran seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata sekiranya kerajaan negeri benar-benar memikirkan kebajikan kakitangan awam Selangor, mereka sepatutnya melaksanakan dasar gaji minimum itu kepada penjawat awam yang bergaji rendah dahulu dan bukan hanya kepada kakitangan GLC semata-mata.

"Kalau kita ambil kira GLC, mereka ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang mana sudah tentunya skim perkhidmatannya adalah berbeza daripada skim perkidmatan awam negeri. "Malah GLC juga dilihat secara operasinya adalah mencari keuntungan yang membolehkan mereka membayar gaji dan bonus kakitangan secara puratanya melepasi RM1,500 sebulan.

"Namun, kakitangan awam negeri gaji mereka adalah rendah," katanya yang menambah terdapat seramai 19,000 penjawat awam di Selangor.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Dr Mohd Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyediakan geran berjumlah RM100,000 hingga RM150,000 kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menjalankan kajian berhubung keupayaan dan kebolehan negara ini melaksanakan gaji minimum. Beliau berkata hasil kajian itu nanti akan dikemukakan untuk menunjukkan bagaimana kadar gaji minimum di negara ini boleh dinaikkan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, hasil kajian itu turut membantu pihaknya untuk mencari kaedah sesuai bagaimana GLC di bawah negeri boleh menterjemahkan kadar gaji minimum. -BERNAMA

Artikel Lain