suria

Empat Perkhidmatan KTM Intercity Alami Gangguan

KUALA LUMPUR: Empat perkhidmatan tren KTM Intercity mengalami gangguan perkhidmatan berikutan kegelinciran lokomotif pada 7.10 pagi di KM704.50 (Kulai-Layang-Layang) pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata perkhidmatan tren pertama adalah Ekspres Sinaran Timur (No 14) mengalami kelewatan dari jadual asal dan akan menyambung perjalanan sehingga stesen Tumpat.

"Perkhidmatan kedua adalah Shuttle (No 92) di mana perkhidmatan dibatalkan dan ketiga adalah Ekspres Rakyat (No 2) juga dibatalkan dari JB Sentral ke Kuala Lumpur," kata kenyataan itu.

Manakala bagi perkhidmatan keempat adalah Senandung Timur (No 27) di mana perkhidmatan telah ditamatkan sehingga Kluang dan akan dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke stesen JB Sentral, kata kenyataan tersebut.

"Perkhidmatan tren KTM yang tergendala dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 3 petang," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan insiden tersebut dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan.

KTMB memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan para penumpang boleh mendapatkan tambang pemulangan tiket di stesen bagi perkhidmatan yang terjejas.

KTMB Careline boleh dihubungi di talian 1-300-88-5852 untuk maklumat lanjut. BERNAMA

Artikel Lain