suria

Dua Kilang Gentian Kaca Terbakar

JOHOR BAHARU: Sebuah bangunan yang menempatkan dua kilang membuat gentian kaca di Taman Bukit Kempas, di sini, musnah dalam satu kebakaran, pada Isnin.

Penguasa Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Amram Jaya berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua kilang itu baru memulakan operasi yang menyebabkan lima pekerjanya bergegas menyelamatkan diri apabila menyedari kejadian tersebut.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.56 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 9.10 pagi.

"Tiga jentera bomba dari balai Larkin dan Kulaijaya bersama 30 anggota kemudian berjaya mengawal api kira-kira 10 minit kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Amram berkata kebakaran berkenaan memusnahkan 90 peratus kedua-dua kilang terbabit, bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata punca serta kerugian sedang disiasat. -BERNAMA

Artikel Lain